Penubuhan Pusat Jagaan Anak Yatim/Saudara Baru An-Najjah
Aktiviti utama Persatuan Kebajikan Darul Najjah Kuala Lumpur & Selangor ini ialah tertumpu pada kegiatan di Pusat Jagaan Anak Yatim / Saudara Baru An-Najjah.
Pusat Jagaan Anak Yatim / Saudara Baru An-Najjah adalah sebuah Pusat Jagaan amal persendirian yang menjaga dan menguruskan saudara baru dan anak yatim. Ditubuhkan pada 28 Jun 2006, ianya wujud hasil dari usaha Pengerusi Persatuan Kebajikan Darul Najjah Kuala Lumpur & Selangor selaku pengasas. Beliau memulakan perbelanjaan sendiri sebanyak RM 32, 109.45 (Ringgit Malaysia: Tiga Puluh Dua Ribu Satu Ratus Sembilan dan Sen Empat Puluh Lima Sahaja).
Pusat Jagaan ini terletak di alamat:
No. 3, Jalan Kent 2,
Off Jalan Maktab,
54000 Kuala Lumpur.
Sehingga hari ini, banglo 2 tingkat ini dijangkakan dapat memuatkan seramai 24 orang penghuni.
Matlamat Pusat Jagaan ini adalah untuk membela nasib Anak Yatim dan Saudara Baru. Anak-anak ini akan diberi pelajaran dan diasuh dengan didikan agama. Pihak Pengurusan Pusat Jagaan Anak Yatim / Saudara Baru An-Najjah juga menyediakan guru-guru agama yang terlatih untuk mengajar mereka membaca Al-Quran. Fardhu A’in dan bimbingan dalam mengerjakan solat dengan sempurna. Tidak ketinggalan juga, pihak pengurusan menyediakan guru-guru tuisyen dalam membantu mereka agar cemerlang dalam bidang akademik. Dengan pendidikan yang sempurna, diharap mereka menjadi warganegara yang berguna. Anak – anak ini juga diharap akan menjadi orang – orang yang boleh memimpin keluarga, bangsa dan negara suatu hari nanti.
Konsep pengurusan Pusat Jagaan Anak Yatim / Saudara Baru An-Najjah ini ialah mengikut konsep asrama. Semua penghuni perlu mematuhi segala syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan. Syarat-syarat pengambilan anak-anak adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia yang beragama Islam
- Anak-anak yatim dan saudara baru (lelaki sahaja)
- Berumur 7 – 17 tahun dan masih bersekolah
- Berminat untuk maju dalam pelajaran
- Tiada rekod salah laku
- Surat kebenaran bertulis daripada penjaga yang sah
- Dhaif
- Kes dera (dirujuk oleh Hospital atau Polis)