An-Najjah Masa Depan Orang Asli
Harian Metro
Oleh Noriah Idris ( noriah@hmetro.com.my)
MERENUNG masa lalunya ketika bersama keluarga di kampung sebelum memeluk Islam, ada jarak yang memisahkan antara dia dengan dunia luar.
Norazman Norazmi, 15, yang menyimpan hasrat menjadi doktor atau juruterbang suatu hari nanti, berasa impiannya bakal menjadi kenyataan sebaik ditempatkan di rumah anak yatim yang mengubah seluruh hidup dan harapannya.
Dia pasti di rumah anak yatim An-Najjah di No 3, Jalan Kent 2 off Jalan Maktab, Taman Keramat, Kuala Lumpur itu, impiannya bakal digapai, seiring dengan usaha gigihnya.
Jika dia masih di Perkampungan Orang Asli, Kuala Boh, Pahang, barangkali dia masih bermain kejar mengejar atau menyumpit bersama rakan sebaya sambil membidik burung di hutan demi kelangsungan hidup.
Kurang kesedaran terhadap pembelajaran dengan kemudahan tidak sempurna menjadi punca kebanyakan anak Orang Asli jauh tercicir.
Kini, semua itu tiada lagi dalam kamus hidup Norazman dan beberapa rakannya yang berasal dari perkampungan Orang Asli. Ingin membuktikan impian itu bakal terlaksana nanti, sebagai murid Orang Asli kesayangan rakan dan pekerja di rumah yang menjadi tumpangannya, dia menggalas tugas besar untuk masa depan yang lebih sempurna.
Menurut anak sulung daripada tiga beradik ini, dia harus memberi contoh terbaik kepada adik-adiknya.
“Saya harus memanfaatkan peluang ini sebaik-baiknya kerana saya menjadi sandaran keluarga mengubah nasib kami sekeluarga.
“Saya bangga menjadi anak Orang Asli terpilih tinggal di sini. Berbanding rakan dan jiran di kampung saya, peluang dan kemudahan diberi di rumah ini amat sempurna.
“Untuk tidak menghampakan harapan semua, saya menanam cita-cita besar untuk kembali berkhidmat kepada masyarakat sekali gus berbakti kepada kaum saya sendiri kelak. Mereka perlu keluar daripada kepompong kehidupan yang daif seiring membangun selaras dengan kemajuan negara,” katanya.
Dia berterima kasih kepada datuknya, Mohamad Abdullah, 58, yang membuka laluan kepadanya meninggalkan keluarga dan budaya hidup lamanya demi mencari perubahan dalam hidup.
“Di sini saya tidak punya masa berseronok. Sebaliknya, masa kami dipenuhi dengan pembelajaran dan membina jati diri yang kukuh.
“Jadual harian kami padat dengan pelbagai program akademik, pembelajaran, kegiatan kokurikulum, kegiatan kompang mahupun berkawat yang menjadi bekalan penting ke arah disiplin diri yang kukuh.
“Program al-Quran selain bekalan akidah yang diberikan kepada kami, menjadikan saya insaf betapa kekuatan dalaman penting selain kurikulum lain sebagai ilmu bantu,” katanya yang sering bertindak sebagai muazin selain pernah menjadi juara azan di sekolah dan Masjid Kepong menerusi program Jom Ke Masjid anjuran Kementerian Belia dan Sukan, tahun lalu.
Pandangan juara nasyid di Sekolah Menengah Padang Tembak, Kuala Lumpur itu turut diakui sepupunya, Mohd Hamiazwa Ghani, 15.
“Kehidupan di sini amat menyeronokkan terutama melakukan kerja sekolah bersama serta menjalankan aktiviti dan riadah lain. Sebagai saudara baru, saya dapat mempelajari banyak perkara berkaitan agama. Bermain kompang bersama rakan di majlis kenduri kahwin atau di mana saja majlis adalah pengalaman yang menggembirakan.
“Saya agak bermasalah dari segi pemahaman dan perbualan tetapi banyak dibantu Norazman serta rakan lain. Mereka keluarga pada saat susah dan senang,” katanya yang mengakui bapanya masih menganut agama asal sedangkan ibu dan adiknya memeluk Islam.
Bagi Mohd Faizal Jamain, 14, anak yatim kematian ayah dua tahun lalu ini mengakui sistem pembelajaran yang baik di asrama memberinya peluang memperoleh pendidikan sempurna.
Dia berhasrat meringankan beban ditanggung ibunya, Siti Asiah Adnan jika berjaya berkhidmat dalam perkhidmatan polis.
“Impian itu sudah lama saya simpan kerana melihat jenayah yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini,” katanya yang aktif di sekolah dan seronok mengikuti kegiatan berkawad di rumah anak yatim berkenaan.
Sazri Yin, 15, pula berbakat dalam melukis potret dan pernah menjadi juara dalam pertandingan melukis serta berhasrat mengembangkan cita-citanya menjadi pelukis berjaya kelak.
Narimah Sulaiman yang berpengalaman lebih 10 tahun di sekolah kerajaan di Ulu Kinta, Perak, menyahut seruan membantu anak yatim menjadikan mereka anak cemerlang.
“Saya meninggalkan perkhidmatan di sekolah bantuan penuh kerajaan beberapa tahun lalu kerana memikirkan tiada siapa menjaga ibu saya yang menghidap sakit kronik ketika itu.
“Lagipun saya sering mengambil cuti menjaganya dan ibu pernah mewasiatkan supaya saya menjaga anak yatim. Ini membuatkan saya terpanggil memberi khidmat bersama anak yatim di sini,” kata tenaga pengajar di rumah anak yatim itu.
Dia beranggapan anak yang ditempatkan di situ bagaikan anak sendiri kerana di situ, Narimah dapat mencurahkan ilmu kepada mereka tanpa sempadan.
