An-Najjah Kasih Aminah

June 3rd, 2008

Harian Metro
Oleh Noriah Idris ( nori@hmetro.com.my)

an-najjah-kasih-aminahHASRAT mengubah nasib anak yatim, ibu tunggal dan warga emas menjadi impiannya sebagai penanda aras kejayaan terhadap kumpulan sasaran.

Menimba pengalaman bersama rakan melakukan kerja amal serta menghulurkan bantuan pakaian dan makanan ketika di Palestin, Afghanistan dan pelbagai lagi usaha sepanjang mengikuti suami bertugas di Timur Tengah suatu ketika dulu membuatkan Aminah Mat, 57, mengerti makna penderitaan.

Melihatkan semua itu membuatkan hatinya terpanggil untuk membantu golongan naif di negara sendiri dengan menubuhkan pusat penempatan anak yatim dan saudara baru.

Penubuhan An-Najjah pada 2006 menjadi pertaruhan wanita ini demi membuktikan impiannya untuk membela nasib golongan itu mampu direalisasikan selain rasa kasihnya yang mendalam terhadap kumpulan sasaran.

“Saya tidak bersendirian dalam membantu golongan itu. Saya bertuah kerana syarikat korporat, bank, Tabung Haji, Felda, Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menghulur bantuan.

“Bahkan, saluran bantuan dalam bentuk tenaga kerja dan sumbangan golongan profesional daripada Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di samping pertubuhan bukan kerajaan, menjadikan perjalanan An-Najjah semakin mudah,” katanya.

Sehingga kini, beliau yang turut membantu saudara baru memeluk Islam merasakan satu kepuasan jika dapat menjalankan sesuatu yang berharga kepada golongan itu.

“Sehingga kini, ada 24 anak yatim dan saudara baru yang terdiri daripada Orang Asli. Ada di kalangan mereka sudah menyambung pelajaran ke tempat lain, kami tetap berhubung.

“Saya tanamkan kasih sayang mereka walaupun sudah bekerja mahupun berumah tangga, An-Najjah adalah keluarga. Di sini semuanya dilakukan secara bersama,” katanya.

Menurutnya, bimbingan terhadap pelajar atau anak yatim terutama yang datang daripada perkampungan Orang Asli dan pelbagai daerah lain dilakukan secara berterusan.

Di kalangan mereka yang ditempatkan di pusat jagaan di Jalan Kent 2, Off Jalan Maktab, Kuala Lumpur itu, ada yang mengalami masalah tidak dapat membaca (disleksia) walaupun sudah berada di tingkatan lima.

“Dengan bantuan tenaga mahir, masalah itu segera diatasi. Bahkan, setiap petang selepas habis sesi belajar, kelas motivasi, tuisyen dan kelas agama terus diadakan untuk memantapkan jati diri pelajar.

“Biarpun baru berusia setahun jagung, kami sentiasa berusaha mencari kecemerlangan demi masa depan mereka. Bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi saya mahu nasib mereka terbela,” katanya penuh keazaman.

Berdasarkan kajiannya, kebanyakan rumah anak yatim sering digambarkan sebagai pusat yang daif atau terbiar.

Dia yang memulakan An-Najjah dengan simpanan sendiri RM40,000, mahu keluar daripada stigma mengenai rumah anak yatim yang kebanyakannya sering diberi gambaran daif dan tidak terpelihara.

“Saya mahu beri imej tersendiri kepada An-Najjah. Sekurang-kurangnya kita angkat martabatnya supaya lebih tinggi.

“Untuk tujuan ini, saya memerlukan kerjasama semua pihak supaya turut membantu mencapai impian saya. Sekurang-kurangnya, sokongan moral dan bantuan dalam pelbagai bentuk memberi inspirasi untuk terus meningkat maju,” katanya.

Dalam usaha itu, An-Najjah melakar sejarah apabila berjaya mempelbagaikan bakat di kalangan pelajar pusat itu ke arah komersial dengan menghasilkan batik tersendiri.

Usaha itu bertujuan mempamerkan lukisan batik dalam pelbagai karya di samping batik lukis untuk dijual bagi mendapatkan dana.

“Kami melatih pelajar yang berminat dalam bidang lukisan meneruskan bakatnya dalam seni batik tradisional.

“Namun, kami terjemahkan ke arah lebih komersial seperti bentuk buah-buahan, bunga-bungaan dengan ilusi menarik dan dibingkaikan untuk dijual.

“Golongan ibu tunggal dan kumpulan lain turut ditempatkan di sini,” katanya.

PROFIL
NAMA: Aminah Mat
JAWATAN: Pengerusi An-Najjah (Pusat Jagaan Anak Yatim/Saudara Baru Darul Najjah), Kuala Lumpur.
STATUS: Kahwin
SUAMI: Amin Hussain
PENDIDIKAN: Diploma Kesetiausahaan, Kolej Stamford
ANAK: Aishah, 23, Ahmad Ariff, 22 dan Amirah, 14